Malaysia
sebelum berdiri teguh sebagai negara membangun telah melalui pengalaman pahit.
Bermula penjajahan Portugis, kemudian Inggeris, Belanda, Jepun, kemudian
Inggeris lagi, pengalaman tersebut tidak mahu diulangi lagi. Teriakan keramat
‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957, tidak semudah dilalui dan memaknakan kemerdekaan
tersebut. Perpaduan kaum amat penting untuk memastikan negara tidak diganggu
gugat oleh negara asing. Kita tiada Dol Said untuk menentang kemaraan penjajah
pada tahun 1826 di Naning, atau Rentap menentang kubu Raja Brooke di Nanga
Skrang pada tahun 1983, Dato’ Maharajalela membunuh J.W.W Birch 1875 di Pasir
Salak, atau Mat Salleh yang gagah mengetuai gerakan menentang Inggeris pada
tahun 1884 hingga 1900 di Sabah. Yang kita ada ialah barisan pemimpin negara
yang diketuai oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. Tanpa
kegagahan seperti tokoh silam, yang perlu hanyalah kita bersatu padu tanpa
mengira kaum dan agama berlandaskan semangat Malaysia, bak kata
peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh.
Semangat
nasionalisme ialah perasaan cinta akan negara dan perasaan ingin membebaskan
tanah air daripada belenggu penjajahan. Oleh itu, perpaduan kaum telah dapat
memupuk semangat nasionalisme yang mendalam kepada semua kaum di negeri ini
tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. Berdasarkan senario hari ini,
rakyat Malaysia haruslah bertanggungjawab menerima segala adat resam dan budaya
yang berlainan agama dengan fikiran yang terbuka agar dapat membendung
penindasan seperti di negara-negara Thailand, Afrika dan Indonesia. Kata
peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya perlulah
dipraktikkan dalam membentuk dan menanam semangat ini kepada anak-anak sejak
kecil lagi. Sebagai contoh, nyanyian lagu kebangsaan dan menghayati Rukun
Negara di sekolah sebagai ikrar untuk mendisiplinkan diri. Maka dengan itu,
mereka akan sedar tentang kepentingan bersatu padu dan hormat-menghormati. Oleh
itu, kita perlulah berganding bahu dan bukannya bersifat berat tulang dalam
membajai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak
yang masih berada di bangku sekolah.
Selain
itu, semangat perpaduan juga telah dapat menarik pelancong asing untuk melawat
negara kita. Dengan keunikan masyarakat majmuk yang hidup dalam keadaan
harmoni, para pelancong akan tertarik untuk mempelajari budaya rakyat Malaysia.
Hal ini demikian kerana, mereka akan lebih selamat dan selesa apabila berada di
negara ini walaupun Malaysia turut tergugat dengan kemunculan wabak influenza
H1N1 yang menjadi perbualan hangat negara-negara di dunia ini, namun industri
pelancongan tetap maju dan berkembang dari tahun ke tahun kerana adanya
perpaduan kaum. Timbalan Menteri Pelancongan ada menyatakan bahawa dengan
adanya layanan mesra yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada pelancong asing,
industri pelancongan akan terus mendapat tempat yang tertinggi walaupun agak
berkurangan dengan masalah penularan wabak H1N1. Tidak dapat dinafikan bahawa,
rakyat Malaysia dapat berinteraksi dengan baik antara satu sama lain walaupun
berbeza agama dan bangsa. Sebagai contoh, di sekolah menengah, para pelajar
yang terdiri dengan pelbagai kaum dapat belajar dalam satu sekolah yang sama.
Seperti peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa muafakat membawa berkat.
Oleh itu, jelaslah perpaduan kaum bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik
malah dapat menarik lebih ramai pelancong asing ke negara kita.
Seterusnya,
sebagai rakyat Malaysia yang juga merupakan golongan majoriti di negara ini
tidak terlepas daripada masalah pergaduhan dan penindasan yang pernah berlaku
di negara kita. Pastinya sudah ada tertanam dalam pemikiran kita tentang
rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 yang berlaku di negara kita. Pada
masa itu, semua pemimpin dan rakyat telah berusaha untuk menamatkan masalah
tersebut. Lantasan itu, semua penduduk di negara ini harus mengamalkan konsep
perpaduan kaum dan bukan bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan
pucuk masing-masing untuk mengelakkan perpecahan kaum. Bahkan dengan
perpaduan kaum juga dapat menjamin keamanan negara. Hal ini demikian kerana,
masyarakat yang bersatu padu dapat hidup berbaik-baik dan menghormati kaum lain
sejajar dengan dasar luar Malaysia yang digubal selepas Perang Dunia Kedua, hal
ini sekali gus dapat menjamin keamaan setempat. Peribahasa ada menyatakan bersatu
kita teguh, bercerai kita roboh. Perealiasasian pepatah ini dapat
dibuktikan melalui kerjasama yang erat antara kaum. Sebagai contoh, kaum Cina
menghormati adat dan budaya kaum Melayu dan India. Memang tidak dapat
dinafikan, walaupun negara sudah mengamalkan konsep perpaduan, masih ada lagi
rusuhan-rusuhan kecil yang berlaku di negara ini seperti demontrasi jalanan
yang berkaitan dengan Akta ISA. Maka jelaslah bukan sahaja perpaduan kaum
menjadi kunci kepada keharmonian dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat bahkan
minda dan pemikiran juga haruslah diisi dengan nilai-nilai yang positif agar
tidak berlaku permusuhan.
Dasawarsa
ini, pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan
bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam
pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu.
Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan bahawa
‘Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembang lagi
pontensi individu secara menyeluruh dan bersatu padu untuk mewujudkan insan
yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani
berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kapada Tuhan. Usaha ini adalah bagi
melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’ Secara
tidak langsung, dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu
padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui
penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa dan
sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam
aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang sesi
persekolahan pelajar. Izharlah bahawa perpaduan kaum penting dalam menjana
masyarakat Malaysia yang mengutamakan semangat bersatu padu dalam memenuhi
konsep 1Malaysia seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.
Kurikulum
yang dibina bukan sahaja bertujuan untuk memberikan ilmu pengetahuan dan
maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan memupuk semangat perpaduan.
Kurikulum ini berorientasiakan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan
Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Moral yang
diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia
seperti tolong-menolong, bekerjasama dan berfikiran optimis serta membentuk
tingkah laku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia.
Mahukah rakyat negara kita bersikap seperti kacang hantu? Yang
hanya menambahkan lagi masalah di negara kita secara tidak langsung mencemarkan
nama baik negara. Janganlah kita semua memandang enteng terhadap peranan
pendidikan dalam mewujudkan semangat perpaduan kerana pendidikan merupakan
benteng utama insan daripada ditipu oleh musuh-musuh negara yang berhajat untuk
menghancurkan perpaduan kaum di negara kita. Mahukah perkara ini berlaku kepada
kita dan generasi akan datang? Fikirkanlah, sesungguhnya melalui pendidikan
sahaja yang dapat menjamin keutuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Intihanya, sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam pemupukan semangat
perpaduan agar negara terpelihara daripada tipu helah pihak musuh.
Sehubungan
dengan itu, perpaduan juga dapat meningkatkan imej negara, hasil daripada
kerjasama antara semua kaum tanpa timbul sebarang permasalahan. Sebagai contoh,
pada musim perayaan terutamanya, semua rakyat negara ini sudah pasti akan
mengamalkan kunjung-mengunjungi, bermaaf-maafan dan berbual mesra antara satu
sama lain. Bertitik tolak daripada ini, semangat perpaduan sedikit banyak dapat
diwujudkan. Marilah kita bersama-sama menjadikan negara Malaysia berdiri
sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju seperti
Jepun, Amerika Syarikat dan Hong Kong, di samping ekonomi negara yang semakin
meningkat dengan drastiknya. Tidak mahukah kita mengecapi kejayan tersebut?
Mengapa semua rakyat Malaysia masa kini bersikap membutakan mata dan
memekakkan telinga masing-masing dalam menyahut seruan kerajaan untuk
membangunkan negara agar nama Malaysia gah di seantero dunia? Sudah pastinya
terdapat jawapan bagi kesemua persoalan tersebut walaupun jawapannya
berbeza-beza. Konklusinya, imej negara dapat ditingkatkan jika seluruh rakyat
bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam melaksanakan dan menjayakan rancangan
kerajaan yang telah bertungkus lumus untuk menyediakan perancangan kerajaan
yang efektif seterusnya membawa imej negara terkenal di seluruh dunia.
Jika
semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah
sama dituruni insya-Allah perkara ini akan dapat direalisasikan lebih
awal daripada jangkaan kita. Usaha Perdana Menteri kita dengan memperkenalkan
konsep 1Malaysia sememangnya berbaloi dalam mewujudkan perpaduan kaum dalam
kalangan rakyat Malaysia. Sudah terang lagikan bersuluh, terdapat
banyak kepentingan dalam memupuk perpaduan kaum sama ada kepada masyarakat
ataupun negara. Kita sememangnya tidak dapat menjangka apa-apa yang bakal
berlaku pada masa hadapan kerana semua itu terletak pada kekuasaan Allah s.w.t.
Oleh itu, kita perlulah sediakan payung sebelum hujan dalam
mendepani masa depan yang menjanjikan cabaran di luar jangkaan agar kita tidak
ditimpa malang seperti peribahasa Melayu, sudah terhantuk baru nak tengadah.
Masyarakat sepatutnya mempraktikkan elemen bertolak ansur dan memperteguh
kefahaman antara satu sama lain supaya dapat membina impian negara pada masa
depan yang lebih gemilang. Intihanya, semua rakyat perlulah mempertahankan
semangat perpaduan di negara kita demi negara yang tercinta dan dapat menyambut
gamitan negara impian.