Thursday, 7 August 2014

Sukar untuk mendefinisikan secara tepat istilah pembangunan disebabkan begitu banyak aspek dan masalah yang terangkum ke dalam apa yang disebut pembangunan. Secara mudahnya pembangunan ialah proses perubahan daripada peringkat kurang maju kepada peringkat yang lebih maju yang menjurus ke arah kesejahteraan, kebahagiaan, kemakmuran dan kebebasan sama ada dalam aspek pemikiran manusia ataupun aspek fizikal atau persekitaran.
Menurut Laporan Suruhanjaya Selatan (1990), pembangunan boleh didefinisikan sebagai satu proses yang mana membolehkan kehidupan manusia merealisasikan potensi, membina keyakinan serta membawa kehidupan ke arah kemuliaan dan penuh bermakna yang membebaskan manusia dari rasa takut untuk meminta dan dieksploitasi. Ia merupakan pergerakan yang menjauhkan dari penindasan politik, ekonomi dan juga sosial (Pengantar Teori Pembangunan Dunia Ketiga, 2005: 2).
Todaro (1977), berpendapat pembangunan juga melibatkan proses menyusun dan mengorientasi semula sistem ekonomi dan sosial. Ini bermakna bahawa pembangunan bukan sahaja melibatkan pertambahan pendapatan dan pengeluaran, tetapi juga mengambil kira perubahan institusi sosial, struktur pentadbiran, pendapat umum, adat resam dan kepercayaan. Manakala Seers (1979), mentafsirkan pembangunan juga boleh ditunjukkan dengan terhapusnya kemiskinan, kurangnya jumlah pengangguran serta rapatnya jurang ketaksamaan. Dalam pengertian yang sederhana dapat disimpulkan bahawa pembangunan merupakan usaha yang dilakukan oleh sesuatu masyarakat untuk meningkatkan taraf hidup mereka. (Pengantar Teori Pembangunan Dunia Ketiga, 2005: 2).
Konsep pembangunan meliputi empat komponen penting yang saling melengkapi dan perlu dicapai iaitu kecekapan untuk memastikan pencapaian pertumbuhan ekonomi yang pesat, pembahagian kekayaan yang adil yang meliputi pembasmi kemiskinan dan pengurangan jurang perbezaan pendapatan, mapan untuk menjamin pembangunan kini tidak mengancam generasi akan datang dan keupayaan rakyat terutama golongan mudah terancam seperti golongan miskin. (Jurnal Teknologi, 42(E) Jun, 2005: 33)


No comments:

Post a Comment