Proses pembangunan negara telah mengalami beberapa perubahan daripada
pembangunan pertanian pada mulanya diikuti dengan pembangunan
perindustrian dan sekarang dengan teknologi maklumat. Teknologi maklumat
dan komunikasi (ICT) adalah satu bidang yang penting yang harus
dikuasai dan diharungi agar kita tidak ketinggalan terutama dalam
mencapai Wawasan 2020 yang salah satu daripadanya iaitu cabaran keenam
untuk mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat
yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang
bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada
tamadun saintifik dan teknologi masa depan. Cabaran ini juga
berkaitrapat dengan cabaran kesembilan iaitu untuk mewujudkan masyarakat
makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.
Ini selari dengan perkembangan ICT terkini yang semuanya dipengaruhi
oleh konsep K-iaitu Knowledge yang memberi fokus baru kepada maklumat,
teknologi dan pembelajaran di dalam bidang-bidang tertentu seperti
bidang ekonomi :K-Economy, bidang pembangunan modal insan :K-Workers dan
dalam bidang pengurusan :K-Management
Menjana pembangunan negara bermaksud segala
usaha yang dilakukan secara bersungguh-sungguh, terancang dan
menyeluruh untuk memastikan kesejahteraan penduduk dan kemakmuran negara
tercapai.Hal ini bermakna pembangunan yang dirancang perlu mencakupi
pelbagai aspek termasuk politik,ekonomi dan sosial.Walau bagaimanapun
ketiga-tiga faktor ini saling berkait dan mempengaruhi antara satu sama
lain.
Sesebuah negara tidak
akan membangun dan maju seandainya berada dalam keadaan huru-hara dan
keadaan politiknya tidak stabil.Krisis dan konflik kaum dan etnik di
Iraq dan Sudan ialah contoh yang jelas.Dalam keadaan seperti
ini,pemerintah terpaksa memberi tumpuan kepada aspek-aspek keselamatan
dan perpaduan pendudukKeadaan politik yang tidak stabil juga akan
menjadikan negara berada dalam suatu persimpangan yang tidak menentu
masa depannya.Pelabur-pelabur luar akan tertanya-tanya tentang golongan
manakah yang akan berkuasa dan apakah dasar luar negara sekiranya
pemerintahan bertukar tangan? Sekiranya pemerintahan sering bertukar
tangan sudah tentu dasar dalam negara dan luar negara akan turut
berubah.Hal inilah yang akan ditakuti oleh pelabur asing.Mereka akan
menarik keluar pelaburan mereka untuk melabur di negara yang diyakini
kestabilan politiknya.Seandainya perkara sedemikian berlaku,ekonomi
negara akan turut terjejas.
Matlamat pembangunan negara tidak akan terlaksana jika keamanan negara
tidak akan terjamin.Kehidupan yang harmoni dalam kalangan rakyat bukan
sahaja menjamin keselesaan bahkan berjaya menarik dan meyakinkan pelabur
asing untuk terus melabur di Malaysia.Perpaduan dalam kalangan pelbagai
kaum juga perlu dipupuk dan dipertahankan.Perpaduan hanya wujud melalui
permuafakatan,keikhlasan,tolak-ansur dan hormat-menghormati tanpa
prejudis antara satu sama lain.
Faktor ekonomi juga amat penting bagi menjana pembangunan sesebuah
negara.Selain pengurusan sumber asli kekayaan negara(minyak,logam dan
hasil perhutanan)yang baik dan berkesan,kita juga perlu memastikan
pertumbuhan ekonomi dirancang dengan rapi supaya dapat bersaing dengan
negara-negara maju yang lain.Malaysia perlu melonjakkan kemampuan dan
berubah daripada menjadi negara pengguna kepada negara pengeluar.Untuk
itu,kita perlu memiliki dan menguasai pelbagai teknologi moden termasuk
teknologi maklumat dan komunikasi.Sektor ekonomi yang perlu dibangun dan
dimajukan termasuk sektor pembuatan,pertanian dan perkhidmatan.Kita
perlu mempelbagaikan pengeluaran negara bagi mengurangkan kesan
kegawatan ekonomi dunia.Penyelidikan dan pembangunan dalam sektor
perindustrian dan pertanian hendaklah dilaksanakan secara berterusan
bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti.Dengan ini kita mampu berdaya
saing dengan produk luar negara.Dalam konteks ini kerajaan perlu
menyediakan kemudahan dan kelengkapan infrastruktur serta memberi
pelbagai intensif kepada kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan bagi
memacu pembangunan ekonomi negara.
Aspek sosial khususnya pendidikan dan pembangunan modal insan
merupakan satu aspek yang amat penting dalam menjana pembangunan
negara.Pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang berasaskan
sains dan teknologi perlu diberi keutamaan dan menjadi agenda utama
dalam kurikulum pendidikan di negara kita.
Sumber manusia yang berkualiti,berwibawa dan cemerlang mampu menjana
pembangunan negara.Bagi memastikan tenaga kerja yang dibekalkan dalam
pasaran pekerjaan berkualiti dan memenuhi kehendak majikan,peluang
menuntut ilmu perlu diperluas.Selain memperbanyakkan bilangan institusi
pengajian tinggi,bilangan kolej komuniti dan pusat latihan kemahiran
perlu ditambah.Kemudahan bagi pekerja melanjutkan pelajaran perlu diberi
kelonggaran dan pembelajaran sepanjang hayat hendaklah dilaksanakan
secara bersungguh-sungguh.Institusi pengajian tinggi perlu menjadi
tempat pelajar membina minda dan intelektualisme serta mengembangkan
bakat inovasi dan kreativiti.
Usaha-usaha yang dirancang perlu mendapat kerjasama dan penggemblengan
tenaga serta sokongan semua pihak bagi memastikan kejayaan dalam setiap
pelaksanaan perancangan.Hasrat untuk mencapai taraf negara maju
menjelang 2020 hanya boleh menjadi realiti sekiranya segala cabaran
dapat ditangani secara berkesan
No comments:
Post a Comment