Perlembagaan Malaysia
Perlembagaan Malaysia dikenali sebagai
Perlembagaan Persekutuan yang mengandungi 183 perkara. Ia merupakan satu
dokumen undang-undang bertulis yang telah dibentuk berasaskan kepada dua
dokumen terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan
Perlembagaan Kemerdekaan 1957.
Sejarah Perlembagaan Malaysia
Asas Perlembagaan Persekutuan Malaysia ialah Perlembagaan
Persekutuan Tanah Melayu. Berikutan Kemenangan Parti Perikatan dalam
Pilihanraya Persekutuan pertama pada tahun 1955, Tunku Abdul Rahman Putra telah
dipilih sebagai Ketua Menteri Pertama. Penggubalan Perlembagaan Persekutuan
Tanah Melayu merupakan langkah pertama ke arah membentuk kerajaan sendiri
selepas Britain bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada
tahun 1956. Untuk tugas penggubalan Perlembagaan, kerajaan British telah menubuhkan
sebuah Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada wakil Kerajaan British,
penadihat Majlis Raja-Raja dan Pemimpin-Pemimpin parti.
Pada Januari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan ke
London untuk membincangkan soal penggubalan Perlembagaan Persekutuan dan
merundingkan tarikh kemerdekaan untuk negara. Pada Mac 1956 satu Suruhanjaya
Perlembagaan diketuai Lord Reid telah ditubuhkan untuk merangka dan meneliti
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Suruhanjaya tersebut telah mendapatkan
pandangan parti-parti politik, persatuan bukan politik dan individu tentang
bentuk negara dan bangsa bagi negara ini. Dalam proses rundingcara itu, satu
memorandum daripada parti Perikatan telah mendapat keutamaan. Memorandum yang
disebut sebagai Pakatan Murni iaitu persetujuan secara bertolak ansur demi
kepentingan bersama serta persetujuan menghormati hak-hak orang lain, menyentuh
lima perkara utama iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama islam,
kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama
rata.
Perlembagaan yang digubal Suruhanjaya Reid diiktiraf
Jawatankuasa Kerja sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mulai tarikh
kemerdekaan negara iaitu pada 31 Ogos 1957.
Tujuan Perlembagaan
1.
Mewujudkan satu bentuk pemerintahan yang adil
2.
Mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah
3.
Mengawal pergerakan kerajaan dan rakyat
4.
Sebagai alat untuk myelesaikan masalah
5.
Menjamin riwayat negara bangsa
6.
Menjamin keamanan dan kestabilan negara
Perlembagaan ini dibahagikan kepada 15 Bahagian yang mengandungi
131 Perkara menyentuh pelbagai aspek pemerintahan iaitu :
Bahagian 1 : Negeri-Negeri, Agama dan Undang-Undang Bagi
Persekutuan
Malaysia adalah sebuah persekutuan yang dianggotai 13 negeri dan
3 Wilayah Persekutuan. Islam diiktiraf sebagai agama persekutuan, tetapi
agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni. Perlembagaan adalah
undang-undang utama persekutuan. Mana-mana undang-undang yang tidak mengikut
Perlembagaan adalah tidak sah.
Bahagian 2 : Kebebasan Asasi
Kebebasan Asasi ialah hak yang kita miliki iaitu hak untuk
hidup, kebebasan daripada perhambaan dan menjadi buruh paksaan, keseramatan di
sisi undang-undang, kebebasan bergerak, kebebasan bercakap, berhimpun dan
bersekutu, kebebasan agama, hak untuk pendidikan dan hak untuk memiliki harta.
Bahagian 3 : Kewarganegaraan
Seseorang itu menjadi warganegara dengan cara dilahirkan disini,
berkahwin dengan seorang lelaki warganegara Malaysia atau mempunyai seorang ibu
atau bapa warganegara Malaysia dan tinggal secara sah di dalam negara ini untuk
suatu masa yang ditetapkan. Bahagian ini juga menyatakan bagaimana seseorang
itu boleh menamatkan dan dilucutkan kewarganegaraan.
Bahagian 4 : Persekutuan
Bahagian ini memberi panduan sistem kerajaan di Malaysia. Ketua
utama persekutuan adalah Yang Di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis
Raja-Raja untuk lima tahun. Majlis Raja-Raja dianggotai oleh kesemua Raja-Raja
negeri-negeri dan Yang Di-Pertua bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja.
Bahagian ini juga mewujudkan Kabinet dan Pejabat Perdana Menteri serta Parlimen
yang terdiri daripada Yang Di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang
dikenali sebagai Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Bahagian 5 : Negeri-Negeri
Setiap negeri mempunyai perlembagaannnya sendiri dan badan
perundangan dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri. Dewan Undangan Negeri
mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang tertentu. Raja-Raja dan Yang
Di-Pertua Negeri mempunyai hak dan keistimewaan masing-masing. Perhubungan
antara Persekutuan dengan Negeri-Negeri bahagian ini menyatakan pembahagian
kuasa di antara persekutuan dan negeri-negeri. Terdapat perkara yang
membolehkan Parlimen menggubal undang-undang dan terdapat pula perkara yang
membolehkan Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang. Terdapat juga
perkara tertentu di mana kedua-dua boleh menggubal undang-undang.
Bahagian 6 : Peruntukan Kewangan
Bahagian ini menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh mengenakan
cukai atau membelanjakan wang kecuali melalui kuasa undang-undang.
Bahagian 7 : Pilihan Raya
Bahagian ini menyatakan hak-hak kita sebagai warganegara untuk
mengundi pemimpin-pemimpin kita. Badan yang ditugaskan untuk menjalankan
kesemua pilihan raya dan menyediakan daftar pemilih dikenali sebagai
Suruhanjaya Pilihanraya yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong.
Bahagian 8 : Badan Kehakiman
Bahagian ini mewujudkan sistem kehakiman di Malaysia dan
menyatakan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh ditentukan oleh
mahkamah-mahkamah di Malaysia. Bahagian ini juga menyatakan bagaimana
hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dilantik.
Bahagian 9 : Perkhidmatan Awam
Bahagian ini mengenalpasti perkhidmatan awam di Malaysia,
termasuk Pasukan Polis, Angkatan Tentera dan Perkhidmatan Pelajaran. Ia juga
merangkumi anggota perkhidmatan awam seperti yang berkhidmat untuk kementerian
serta kerajaan-kerajaan persekutuan dan negeri-negeri. Pelantikan, kenaikan
pangkat dan penamatan khidmat anggota perkhidmatan awam ditentukan oleh
'Suruhanjaya-Suruhajaya'.
Bahagian 10 : Kuasa Khas Menentang Kuasa Subversif dan Darurat
Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang boleh
membelakangi hak-hak lain dalam Perlembagaan semasa darurat atau atas
sebab-sebab keselamatan awam.
Bahagian 11 : Am dan Pelbagai
Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Yang Di-Pertuan Agong
bertanggungjawab untuk memelihara kedudukan istimewa orang melayu dan peribumi
Sabah dan Serawak serta memelihara kepentingan sah komuniti-komuniti lain.
Bahagian 12 : Perlindungan Tambahan bagi Negeri Sabah dan Serawak
Terdapat peruntukan khas untuk Sabah dan Serawak, contohnya
perizaban tanah peribumi bagi masyarakat peribumi Sabah dan Serawak.
Bahagian 13 : Peruntukan Sementara dan Peralihan
Bahagian ini menerangkan bagaimana undang-undang yang digubal
sebelum merdeka masih berkuat kuasa sehinggalah Parlimen menggubal
undang-undang baru bagi menggantikan mereka.
Bahagian 14 : Perkecualian Bagi Kedaulatan Raja-Raja dan
Sebagainya
Kedaulatan, kuasa, perogratif dan bidang kuasa Raja-Raja
dipelihara dalam bahagian ini.
Bahagian 15 : Prosiding Terhadap Yang Di-Pertuan Agong dan
Raja-Raja
Di bawah bahagian ini, prosiding oleh atau terhadap Yang
Di-Pertuan Agong atau Raja-Raja harus dibawa di hadapan 'Mahkamah Khas'.
No comments:
Post a Comment